“KITA MENARUH PENGHARAPAN KITA
KEPADA ALLAH YANG HIDUP”
(1 Tim 4:10)
Para sahabat yang saya kasihi,
Pada Minggu Palma nanti kita akan merayakan Hari Belia Sedunia yang ke-24 yang akan dirayakan di peringkat diosis masing-masing. Dalam persiapan kita ini, saya ingat kembali saat-saat pertemuan kita di Sydney pada bulan Julai tahun lalu. Ia merupakan satu pertemuan yang tidak dapat dilupakan dimana Roh Kudus membaharui hidup kaum muda yang datang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia.
Dalam masa beberapa hari tersebut, kehadiran Roh Kristus ternyata dalam kegembiraan dan keghairahan yang dialami semasa perayaan. Kini, kita berjalan menuju ke pertemuan antarabangsa yang akan diadakan di Madrid pada tahun 2011, yang akan mengambil tema dari kata-kata Santo Paulus “Berakar dan dibangunkan di atas Kristus Yesus, bertambah teguh dalam iman” (ruj. Kolose 2:7 ). Sambil kita menantikan pertemuan global belia itu, marilah kita mengambil bahagian dalam persiapan ini bersama. Tahun 2009 ini kita mengambil kata-kata dari Santo Paulus : “ Kita menaruh pengharapan kita kepada Allah yang hidup” (1 Tim. 4:10), sementara pada tahun 2010, kita akan merenungkan soalan seorang pemuda kaya yang dikemukakan kepada Yesus “Guru yang baik, apakah yang harus ku perbuat untuk memperolehi hidup yang kekal?” (Markus 10:17)
Belia, Masa Pengharapan
Di Sydney, kita memfokuskan perhatian kita kepada apa yang dikatakan Roh Kudus kepada orang-orang yang percaya pada masa kini, terutamanya kamu, kaum muda-mudi yang saya kasihi. Dalam misa penutup, saya telah menggesa supaya anda membenarkan diri anda dibentuk oleh Dia agar sedia menjadi perutusan kasih ilahi, mampu membangunkan masa depan yang mempunyai harapan bagi bangsa manusia. Pada masa ini, sebagai manusia dan dalam misi kita sebagai Kristian, soalan mengenai harapan merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan kita. Kita semua sedia maklum bahawa kita memerlukan pengharapan, bukan sekadar pengharapan biasa, tetapi sesuatu pengharapan yang teguh dan boleh dipercayai, seperti apa yang saya tekankan di dalam Surat Spe Salvi (Harapan Penyelamatan). Zaman muda merupakan masa istimewa untuk berharap kepada sesuatu kerana ia melihat masa depan dengan pelbagai ekspektasi. Dalam usia muda, kita sering mendambakan apa yang ideal, segala impian serta cita-cita. Zaman muda merupakan masa ketika kita akan menghasilkan keputusan berkaitan dengan masa depan kita. Mungkin sebab inilah dalam tempoh ini, soalan-soalan penting mendesak mereka berfikir: Mengapa saya berada di dunia ini? Apakah erti hidup ini? Apakah yang akan terjadi dalam hidup saya kelak? Dan lagi: Bagaimana saya boleh mengecap kebahagiaan? Mengapa wujud kesengsaraan, kesakitan dan kematian? Apakah yang menanti kita selepas kematian? Persoalan-persoalan ini menjadi mendesak apabila kita menghadapi rintangan-rintangan yang kadangkala tidak dapat diatasi: masalah dalam pembelajaran, pengangguran, pertengkaran dalam keluarga, krisis dalam persahabatan atau membina kasihsayang dalam hubungan, sakit atau tidak terdaya, sumber yang tidak mencukupi akibat daripada krisis ekonomi dan sosial yang berleluasa. Kemudian kita tanya diri sendiri: Di manakah saya boleh mendapatkan pengharapan dan bagaimanakah saya dapat terus menghidupi semarak harapan yang membara di dalam hati saya?
Dalam Pencarian “Pengharapan Agung”
Pengalaman membuktikan bahawa kualiti-kualiti seseorang individu dan kebendaan materil tidak dapat menjaminkan harapan yang dicari oleh roh manusia. Sepertimana yang saya tulis dalam Spe Salvi, politik, sains, teknologi, ekonomi dan semua sumber kebendaan tidak mencukupi untuk memberi pengharapan agung yang kita dambakan. Pengharapan ini “hanya boleh terdapat di dalam Allah saja, yang meliputi segala ciptaan dan yang boleh memberi kepada kita sesuatu yang kita tidak dapat capai dengan usaha sendiri” (no. 31). Inilah sebabnya jika tidak memperdulikan Allah, salah satu akibat utama ialah kehilangan arahtuju dalam masyarakat, mengakibatkan kesepian dan keganasan, ketidakpuasan hati dan hilang keyakinan yang menjurus kepada kehampaan. Sabda Allah mengingatkan dengan lantang dan jelas: ”Terkutuklah orang yang mengandalkan manusia, yang mengandalkan kekuatannya sendiri, dan yang hatinya menjauh daripada Tuhan! Ia akan seperti semak bulus di padang belantara, ia tidak akan mengalami datangnya keadaan baik.” (Yeremia 17:5-6).
Krisis pengharapan lebih banyak menjejaskan generasi muda. Di dalam persekitaran sosio-budaya yang menawarkan beberapa kepastian, nilai-nilai atau titik rujukan yang kukuh, kaum muda menghadapi masalah dan cabaran yang mereka sukar menangani. Sahabat-sahabat muda yang ku kasihi, saya teringat dengan rakan-rakan sebaya kamu yang telah dilukai oleh pengalaman hidup. Mereka selalu menderita akibat ketidakmatangan peribadi yang disebabkan oleh keadaan keluarga yang tidak menentu, oleh elemen-elemen yang terlalu permisif dan bebas dalam pendidikan mereka, serta oleh pengalaman yang susah dan penuh trauma. Bagi sesetengah – malangnya dalam jumlah yang besar – mereka mencari jalan keluar dengan tingkah-laku yang ganas dan berbahaya, ketagihan dadah dan alkohol, dan banyak lagi jerat-
jerat lain. Walau demikian, keinginan terhadap kasihsayang yang tulin dan kegembiraan yang sejati masih belum terpadam dalam diri mereka, meski pun mereka berada di dalam situasi yang sukar atau telah disesatkan oleh pengaruh-pengaruh yang tidak baik. Namun bagaimanakah kita dapat berbicara mengenai pengharapan ini kepada para muda-mudi yang sedemikian? Kita tahu bahawa hanya di dalam Tuhan seseorang insan menemui kepenuhan yang sejati. Tugas utama kita ialah untuk memulakan penginjilan baru yang bertujuan untuk membantu para muda-mudi untuk menemukan semula wajah Allah yang benar, iaitu Kasih. Kepada anda para kaum muda yang sedang mencari suatu pengharapan yang kukuh, saya menanggapi semula kata-kata Santo Paulus yang ditulis kepada orang-orang Kristian di Roma yang menghadapi penganiayaan pada masa itu: “Semoga Ia mengisi hatimu dengan segala sukacita dan sejahtera karena kalian percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa Roh Allah, kalian semakin berharap kepada Allah”. (Roma 15:13) Semasa tahun jubli yang didedikasikan kepada Santo Paulus, Rasul kepada orang-orang kafir, sempena dua ribu tahun peristiwa kelahiranNya, marilah kita belajar daripadanya bagaimana menjadi saksi-saksi pengharapan Kristiani yang boleh dipercayai.
Santo Paulus, saksi kepada pengharapan
Ketika Paulus berdepan dengan kesusahan dan pelbagai cobaan, dia telah menulis kepada Timothy pengikutnya yang setia: “Kita menaruh pengharapan kita kepada Allah yang hidup” (1 Tim 4:10). Bagaimanakah pengharapan ini bertumbuh di dalam dirinya? Untuk menjawab soalan tersebut, kita selami pertemuannya dengan Yesus yang telah bangkit semasa dalam perjalanannya ke Damsik. Ketika itu, Saulus adalah seorang muda seperti anda sekitar usia awal 20-an, seorang pengikut setia kepada Taurat Musa dan bertekad untuk berjuang dengan apa cara sekalipun, termasuklah membunuh mereka yang dianggapnya musuh Allah (ruj. Kisah 9:1).
Semasa dalam perjalanannya ke Damsik untuk menangkap pengikut-pengikut Kristus, matanya dikaburi dengan satu cahaya misteri dan dia mendengar namanya dipanggil: “Saulus, Saulus, mengapa kamu menganiaya Aku?” Saulus jatuh ke tanah dan bertanya: “Siapakah engkau, Tuhan?” Cahaya itu menjawab: “Akulah Yesus yang engkau aniaya itu” (Kisah 9:3-5). Selepas pertemuan itu, kehidupan Paulus berubah dengan drastiknya. Dia menerima permandian dan menjadi seorang Rasul kepada Injil. Dalam perjalanannya ke Damsik, Paulus telah diperbaharui secara dalaman berkat daripada cintakasih yang dia temui di dalam peribadi Yesus Kristus. Dia kemudian menulis: “Hidupku yang kuhidupi sekarang di dalam daging, adalah hidup oleh iman dalam anak Allah yang telah mengasihi aku dan menyerahkan diri-Nya untuk aku.” (Gal 2:20). Dari seorang penyeksa, dia menjadi seorang saksi Kristus dan missionari. Dia menubuhkan dan membangunkan komuniti Kristian di Asia Barat dan Greece, dan telah mengembara beribu batu, mengharungi pelbagai seksaan, sehinggalah dia dihukum mati sebagai ‘Martir’ di Roma. Semua ini dilakukannya demi kasihnya kepada Kristus.
Pengharapan Agung berada di dalam Kristus
Bagi Paulus, pengharapan bukan sekadar sesuatu yang ideal atau emosi semata-mata, tetapi seorang yang hidup, iaitu Yesus Kristus, Putera Allah. Dengan penuh inspirasi yang pasti ini, dia menulis kepada Timotius: “Kita menaruh pengharapan kita kepada Allah yang hidup” ( 1 Tim 4: 10 ). “Allah yang hidup” ialah Kristus yang telah bangkit dan hadir di dunia kita. Dialah pengharapan yang benar: Kristus yang hidup bersama kita dan tinggal di dalam kita, dan yang memanggil kita untuk turut serta dalam kehidupan-Nya yang kekal. Jika kita tidak sendirian, jika Dia bersama kita, apata lagi jika Dia adalah kehidupan sekarang dan masa depan kita, mengapakah kita harus takut?
Justru itu, pengharapan bagi orang-orang Kristian ialah menginginkan “kerajaan syurgawi dan kehidupan kekal sebagai kebahagiaan kita, dengan meletakkan kepercayaan kita kepada janji-janji Kristus dan tidak bergantung kepada kekuatan kita sendiri, melainkan kepada bantuan dan rahmat Roh Kudus” (Katekesmus Gereja Katolik, 1817)
Jalan menuju ke pengharapan agung
Sebagaimana Yesus pernah bertemu dengan Paulus, Yesus juga mahu bertemu dengan setiap kamu, para kaum muda yang saya kasihi. Sungguhnya Yesus Kristus lebih dahulu ingin berjumpa dengan kita sebelum kita mahu bertemu dengan-Nya. Tetapi mungkin ada di antara kamu yang akan menanyakan saya: Bagaimana saya dapat bertemu dengan-Nya hari ini? Atau, dalam cara apakah Yesus mendekati saya? Gereja mengajar kita bahawa keinginan untuk bertemu dengan Tuhan sudah merupakan buah rahmat-Nya. Apabila kita menyatakan iman kita di dalam doa, kita dapat menemukan-Nya walaupun dalam masa kegelapan kerana Dia telah mempersembahkan Diri-Nya kepada kita. Doa yang tak putus-putus akan membukakan hati untuk menerima-Nya, seperti yang dinyatakan oleh Santo Augustin: “Tuhan dan Allah kita ... mahukan supaya keinginan kita dilatih dalam doa, yang memungkinkan kita menerima apa yang disediakan untuk diberikan kepada kita,” (Surat 130:8, 17). Doa adalah kurnia Roh Kudus yang menjadikan kita lelaki dan wanita yang mempunyai harapan, dan doa kita membolehkan dunia ini terbuka kepada Allah (Ruj. Spe Salvi, 34).
Berilah ruang untuk berdoa dalam hidup anda! Berdoa secara peribadi adalah baik, akan tetapi ia lebih indah dan menghasilkan buah untuk berdoa bersama, kerana Tuhan telah meyakinkan kita bahawa Dia akan hadir di mana dua atau tiga orang berkumpul di atas namaNya (Mt 18:20).
Ada banyak cara untuk mengeratkan hubungan dengan Tuhan. Terdapat pengalaman-pengalaman, perkumpulan dan pergerakan, pertemuan dan kursus di mana kita boleh belajar berdoa dan seterusnya mengembangkan
pengalaman mengenai iman. Ambil bahagianlah di dalam liturgi paroki anda dan semoga anda disegarkan oleh Sabda Tuhan serta penyertaan yang aktif di dalam Sakramen. Seperti yang anda tahu, kemuncak dan titik kehidupan serta misi bagi setiap yang percaya pada Dia dan setiap komuniti Kristian ialah Ekaristi, sakramen penyelamatan di mana Kristus hadir dan menyerahkan tubuh dan darahNya sebagai makan rohani bagi kehidupan kekal. Sungguh, suatu misteri yang tidak terkata! Menerusi Ekaristi, Gereja dilahirkan dan berkembang – keluarga Kristian yang besar yang kita sertai melalui pembaptisan dan di mana kita senantiasa diperbaharui melalui Sakramen Perdamaian. Melalui Sakramen Penguatan, orang-orang yang dibaptis telah dikuatkan di dalam Roh Kudus agar dapat hidup sebagai sahabat-sahabat sejati serta saksi-saksi Kristus. Sakramen Tahbisan dan Perkahwinan membolehkan mereka mencapai tugasan kerasulan mereka di Gereja mahupun di dunia. Dan yang terakhir, Sakramen Pengurapan Orang Sakit yang memberi kita pengalaman penghiburan ilahi walau dalam kesakitan dan kesengsaraan.
Bertindak sesuai dengan pengharapan Kristian
Para belia yang saya kasihi, jika kamu menemukan erti kehidupan dalam Kristus, dan jika kamu hidup berpusatkankan Dia seperti Rasul Paulus, kamu tidak akan dapat berhenti mewartakan tentang Dia serta membuat Dia dikenali dan dikasihi oleh kawan-kawan serta rakan sebaya anda. Jadilah pengikut Kristus yang setia, dan dengan itu kamu boleh membentuk komuniti Kristian yang dipenuhi dengan cinta kasih, seperti yang dinyatakan di dalam Kisah Para Rasul. Gereja bergantung kepada kamu dalam misi yang mencabar ini. Jangan mudah tawar hati apabila anda menghadapi kesusahan dan percobaan. Bersabar dan bertabahlah agar anda tidak cepat membuat keputusan dan menginginkan segala sesuatu dengan segera.
Para sahabat yang saya kasihi, ikutilah teladan Paulus dan bersaksilah tentang Kristus yang bangkit. Bawalah Yesus kepada rakan sebaya kamu dan kepada yang lain, kepada mereka yang sedang mencari “pengharapan agung” yang akan memberi makna kepada kehidupan mereka. Jika Yesus telah menjadi sumber harapan anda, beritahulah hal ini kepada orang lain dengan gembira serta penglibatan anda dalam isu kerohanian, kerasulan dan sosial. Benarkanlah Kristus tinggal di dalam anda. Setelah anda menaruh segala iman dan harapan kepada Dia, sibarkanlah pengharapan ini kepada mereka di sekitar anda. Buatlah pilihan yang menyatakan iman anda. Tunjukkanlah yang kamu mengerti risikonya jika seseorang itu terlalu mengagungkan wang ringgit, kebendaan, karier dan kejayaan; dan jangan benarkan diri anda terpikat kepada ilusi yang palsu ini. Janganlah menyerah diri pada keadaan yang hanya mahu mencari keuntungan diri sendiri. Samaikan semangat cinta kasih kepada sesama dan gunakan diri anda, bakat serta kebolehan profesional anda demi melayani kebaikkan bersama dan kebenaran. Bersedialah selalu untuk “memberi pertanggungan jawab kepada tiap-tiap orang yang meminta pertanggungan jawab dari kamu tentang pengharapan yang ada padamu” (1 Petrus 3:15). Kristian yang tulin tidak akan merasa sedih walaupun mereka berdepan dengan bermacam dugaan, sebab kehadiran Yesus merupakan rahsia kegembiraan dan kedamaian hati mereka.
Maria, Bonda Pengharapan
Semoga Santo Paulus menjadi contoh dalam menjalani hidup pelayanan mu. Dia menyegarkan kehidupannya dalam iman dan pengharapan yang kekal dengan melihat ke arah Abraham yang telah ditulisnya dalam surat yang diutus kepada orang-orang di Roma: “sebab sekalipun tidak ada dasar untuk berharap, namun Abraham berharap juga dan percaya, bahwa ia akan menjadi bapa banyak bangsa, menurut yang telah difirmankan: Demikianlah banyaknya nanti keturunanmu” (Rom 4:18). Dengan mengikuti jejak bangsa yang punya harapan, yang terdiri daripada para dan sangti sepanjang zaman, kita terus maju untuk memenuhi kerajaan Allah, dan dalam perjalanan rohani ini, kita ditemani oleh Perawan Maria, Bonda pengharapan. Beliau yang melahirkan semula harapan orang-orang Israel, yang telah memberikan dunia ini seorang Juruselamat, yang setia di kaki salib dengan harapan yang teguh, adalah model dan tunjang kita. Di atas semua itu, Maria telah menjadi pengantara untuk kita dan memimpin kita melepasi dugaan-dugaan kita ke arah pertemuan kita dengan Yesus yang Bangkit.
Sahabat muda yang terkasih, saya ingin mengakhiri utusan ini dengan doa Santo Benard yang indah dan terkenal ini, yang diilhamkan oleh salah satu gelaran Maria, Stella Maris, Bintang Lautan: “Ditengah-tengah cabaran hidup, anda mendapati diri anda dilanda oleh ribut taufan dan bukan berdiri di atas daratan yang teguh. Jika anda tidak ingin ditenggelami oleh ombak yang bergelora, jangan sekali-kali memalingkan wajahmu daripada sinar cahaya Bintang ini. Jika bayu godaan melanda, jika jatuh di atas batu-batu penyeksaan, pandanglah ke arah Bintang, berserulah kepada Maria...Dalam bahaya, kesedihan, kebingungan, ingatlah akan Maria, serulah padanya...ikutilah teladannya, anda tidak akan tesesat. Bila anda memohon bantuannya, anda tidak akan pernah kecewa. Dengan mengingatinya, anda tidak akan terpesong. Dalam naungannya, anda tidak akan hilang arah. Di bawah perlindungannya anda tidak akan takut. Dengan bimbingannya. anda tidak akan letih-lesu. Dengan bantuannya, anda akan sampai ke pelabuhan dengan selamat...” ( Homili Memuji Bonda Perawan, 2:17 )
Maria Bintang Lautan, kami mohon bimbinganmu bagi semua kaum muda di seluruh dunia agar mereka bertemu dengan Putera Ilahi mu, Yesus. Jadilah rahmat pelindung dalam kesetiaan mereka terhadap Injil dan dalam harapan mereka.
Para sahabat belia yang saya kasihi, yakinlah bahwa saya akan mengingati kalian dalam doa harian saya. Saya memberi berkat dengan sepenuh hati saya kepada anda semua dan mereka yang anda sayangi.
Daripada Vatican, 22 Februari 2009
BENEDICTUS PP, XVI
No comments:
Post a Comment